BUDAYA MEMINUM TAPAI SUKU KAUM KADAZAN/DUSUN.
Perkataan Tapai itu seolah-olah sudah senonim dengan masyarakat suku kaum kadazan dusun di negeri Sabah dan apabila saja kita sebut tapai kita sudah membayangkan itulah tradisi mereka yang sukakan minuman jenis demikian. Di tambah lagi dengan lagu popular Abu bakar Ellah ’orang kita, kita orang’ yang menceritakan masyarakat Sabah yang gemar meminum tapai hingga lah mabuk ampai-ampai.
Namun apakah disebalik sejarah mengenai tapai itu sebenarnya atau bagaimana ia bermula dan benarkah ia menjadi satu amalan bagi penduduk Sabah meminum tapai, khususnya masyarakat kadazan/dusun. Selain nama tapai, ia juga dikenali atau disebut dengan nama-nama mengikut suku kaum kadazan/dusun seperti lihing atau hiing, kinomol, segantang, kinarung, kinopi, linahas, toomis dan sebagainya lagi.
Sabah negeri kedua terbesar di Malaysia dengan keluasan 76,115 sq km atau 29,388 batu persegi. Sebahagian besar negeri Sabah adalah bergunung ganang dan berbukit bukau serta aktiviti utama ekonominya adalah pertanian dan perikanan. Penduduk Sabah yang berketurunan atau bersifat mongoloid dipercayai telah berhijrah ke kepulauan Borneo dan di sekitarnya lebih 5000 tahun yang lalu. Menurut Yahaya Ismail, 1998 , ‘Berlaku penghijrahan beramai-ramai oleh penduduk berketurunan daripada tanah besar Asian ke kepulauan di sekitarnya termasuk Borneo. Suku-suku daripada kadazan /dusun dan murut ini dipercayai ataupun merupakan keturunan yang pertama mendiami kepulauan Borneo Utara (Sabah)’.
Pengunjung akan berasa terpegun apabila melawat negeri di bawah Bayu ini, apabila melihat cara kehidupan penduduknya yang terdiri daripada 32 kumpulan suku etnik dari berbilang bangsa dan keturunan serta agama seperti Islam, Kristian, Buddha dan penganut animisme atau paganisme.
Tamu merupakan tempat menjalankan aktiviti mingguan bagi penduduk tempatan untuk berjumpa dan membeli belah serta menjalankan kegiatan tukar barang atau ‘barter trade’, di antara penduduk pedalaman dengan masyarakat bandar. Masih banyak terdapat penduduk terutamanya yang masih tinggal jauh di pedalaman yang mengamalkan kegiatan pertanian jenis sara diri dan berburu atau menangkap ikan sebagai pekerjaan utama mereka.
Walaupun kewujudan agama-agama seperti Islam, Kristian dan Buddha, pengamalan terhadap kepercayaan tradisi, adat-istiadat kaum masih lagi dipraktik di negeri Sabah. Kepercayaan kepada kuasa-kuasa tertentu, roh-roh baik dan jahat dan pemujaan untuk mendapatkan perlindungan atau perdamaian dengan roh-roh supaya tidak diganggu atau tidak ditimpa sebarang melapataka, masih mendapat tempat pada pengamal animisme atau paganisme. Upacara ini biasanya dikendalikan oleh ketua adat yang juga disebut sebagai ‘bobolian’, oleh suku dusun dan ‘Bobohizan’, oleh suku kaum kadazan dari Penampang.
Menurut kepercayaan suku kaum kadazan/dusun, terdapat lima teras utama roh-roh yang mempunyai kuasa. . Mereka adalah seperti Kinoingan/Minamangun sebagai tuhan atau pencipta, Kauduuduvo bererti roh manusia yang masih hidup, Tombivo , roh atau semangat orang yang telah mati, Rusod adalah semangat untuk semua kehidupan termasuk binatang dan tumbuh-tumbuhan dan Rogon roh jahat.
Selain roh-roh yang disebut di atas, terdapat satu lagi roh atau semangat yang disebut sebagai ’bambarayon’, yang peranannya adalah sangat penting bagi suku kaum kadazan dusun kerana roh ini dipercayai bertanggung jawab menjaga atau menentukan sumber makanan utama iaitu padi untuk suku kaum ini.
Bagi menghormati atau menyatakan terima kasih mereka kepada roh yang menjaga padi atau hasil tuaian mereka bertambah, maka suku kaum kadazan/ dusun mengadakan satu majlis besar-besaran untuk tujuan tersebut yang di panggil ’Kaamatan’. Maka peranan tapai itu bermula di sini dan tapai berasal daripada hasil padi yang dibuat menjadi minuman rasmi semasa upacara pemujaan ’bambarayon’ dan upacara ’magavau’. Hanya tapai yang terbaik sahaja akan di hidangkan semasa upacara tersebut dijalankan. Sejarah atau pembuatan tapai akan kita bincangkan kemudiannya.
Selain peranan tapai yang digunakan semasa upacara pemujaan ’Bambarayon’, terdapat banyak lagi peristiwa-peristiwa lain yang melibatkan secara langsung dengan acara meminum tapai ini. Tapai juga mempunyai sejarah tersendirinya yang lama sebelum kedatangan British atau pembentukan mana-mana kerajaan atau peraturan.
’Head Hunter’, atau pemburu kepala manusia adalah satu amalan yang di lakukan oleh suku-suku kaum terawal di kepulauan Borneo termasuk Sarawak dan Kalimantan. Pada ketika itu belum ada peraturan yang menghalang atau melarang perbuatan seumpama itu. Walaubagaimanapun pemburuan kepala manusia ini di lakukan atas beberapa sebab seperti mempertahan kawasan jajahannya atau sebagai pra syarat kepada seseorang pemuda yang ingin memperisteri gadis pujaannya pada ketika itu. Kemenangan atau kejayaan mendapatkan kepala manusia diraikan dengan majlis makan dan minum. Sudah tentu lah tapai akan menjadi minuman rasmi sepanjang acara itu berlangsung.
Majlis-majlis lain yang ada kaitannya dengan acara meminum tapai ialah majlis perkahwinan. Bagi suku kaum kadazan/dusun dan murut yang masih mengamalkan paganisme, acara perkahwinan itu tidak akan lengkap tanpa minuman tapai. Ini kerana mengikut kepercayaan suku ini mereka yang tidak meminum minuman tapai adalah bukan daripada suku tersebut. Malah tapai menjadi sebahagian daripada hantaran daripada pihak lelaki kepada pengantin perampuan dan di sini lah kita melihat peranan yang dimainkan oleh tapai dalam istiadat dan budaya suku kaum kadazan/dusun dan murut Sabah.
Sebelum wujudnya peraturan yang disebut sebagai undang-undang kerajaan, ketua-ketua suku kaum mempunyai peraturan mereka sendiri untuk mengawal tingkahlaku atau mendisiplinkan anak-anak buahnya. Ini termasuklah dengan memperkenalkan ’sogit’ atau denda yang mungkin boleh berupa seekor binatang seperti ayam, babi, kerbau serta tapai. Bentuk kesalahan-kesalahan akan menentukan jumlah ’sogit’ yang harus dibayar oleh pesalah berkenaan. ’Sogit’ yang dibayar oleh pesalah itu kepada ketua suku akan di makan bersama-sama oleh semua penduduk kampung itu kecuali pesalah, tidak dibenarkan memakan atau meminum tapai ’sogit’.
Tapai diperbuat daripada beras yang dimasak dan disejukkan dengan meratakannya pada sebidang tikar yang disebut Kohintung oleh suku kaum kadazan Penampang. Kemudian dibubuh dengan sedikit ragi juga disebut laru atau sasad oleh orang Sabah. Setelah digaul sama rata nasi yang telah campur dengan ragi tadi dimasukkan kedalam sebuah besin yang telah dilapik dengan daun pisang. Selepas itu besin tadi ditutup pula dengan daun pisang dan diperam selama tiga hingga empat hari sebelum dimasukkan kedalam tajau atau kendi. Tajau haruslah dibersihkan dengan mengunakan daun semada dan daun terap ataupun daun jambu batu dan kemudiannya dijemur di bawah terik matahari.
Proses pemeraman ini akan mengambil masa lebih kurang sebulan untuk mendapatkan air tapai tersebut. Ada yang memeram dan menyimpan hingga beberapa tahun dengan menanam tajau itu ke dalam tanah sehingga air tapai itu berwarna kekuningan dan kandungan alkoholnya boleh mencapai hingga 22%, melalui proses penapaian semulajadi. Selain dari bahan seperti beras bahan lain yang boleh dibuat tapai ialah ubi kayu. Ubi ini dikupas kulitnya dan dibersihkan lalu dimasak. Ubi yang telah dimasak ini akan dibiarkan sejuk dan dibubuh ragi, sama seperti proses membuat tapai nasi.
Menurut keperayaan orang kadazan/dusun terdapat beberapa kepercayaan kuno atau pantang larang yang perlu diberi perhatian ketika atau semasa membuat tapai, seperti tidak boleh bergaduh atau bertengkar, mengata keburukan orang lain atau mengumpat serta meninggikan suara. Mereka percaya jika pantang larang ini tidak dipatuhi, orang-orang yang meminum tapai itu nanti akan berkelakuan tidak baik seperti bergaduh atau terjadi pertengkaran. Pembuat tapai juga dilarang dari menyentuh limau atau benda-benda masam kerana dipercayai tapai yang dibuatnya juga akan menjadi masam. Seketul arang dan sebilah pisau disebut pa’is atau parang kecil diletakkan di atas tajau untuk menghalang roh-roh jahat daripada menyebabkan kerosakan pada tapai tersebut. Ada yang mengaitkan kepercayaan ini dengan sebab-sebab kaitannya tentang kebersihan.
Perubahan masa telah banyak mengubah tingkahlaku sosial masyarakat kadazan dusun dan murut dengan perkembangan sistem pendidikan serta pengaruh media serta status masyarakat itu sendiri. Sebagai contoh masyarakat kadazan dari daerah Penampang menganggap minuman tapai ini hanya untuk upacara tertentu sahaja dan meminumnya pada hari-hari biasa adalah minuman untuk kelas bawahan atau dikaitkan dengan masyarakat kurang berada. Mereka lebih suka meminum minuman seperti ’Beer’ atau ’Whisky’, untuk menunjukkan status mereka sebagai masyarakat moden atau berkemampuan. Bagaimanapun tabiat meminum tapai secara berterusan ini masih dapat dilihat di beberapa daerah di pedalaman seperti di Tambunan, Keningau, Tenom, Kudat atau di daerah yang masih kurang membangun.
Dapat dikatakan bahawa bukan semua masyarakat Kadazan/Dusun atau Murut mengamalkan budaya meminum tapai. Ini kerana perkembangan pesat pengaruh agama seperti Islam, Kristian atau Buddha, telah merubah budaya tersebut. Suku kaum dusun di Kundasang sebagai contohnya, kebanyakan di antara mereka telahpun beragama Islam dan tidak lagi mengamalkan budaya nenek moyang mereka. Begitu juga berlaku di beberapa kawasan atau perkampungan di Keningau atau Tenom, mereka yang telah menganuti agama tidak lagi mengamalkan budaya meminum minum yang memabukkan itu. Walaupun sejarah meminum tapai ini sering di kaitkan dengan penduduk daripada suku kaum kadazan/dusun di Sabah, mengsterotaipkannya kepada semua kaum itu adalah satu tanggapan yang silap dan tidak berdasarkan fakta.
Sunday, September 27, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment